Tuesday 30 August 2011

Buku Dan Puisi

Membaca Buku , Menulis Puisi dan Menggamit Memori Zaman Persekolahan







MENGHAYATI ERTI KEMERDEKAAN

Kita berhimpun di sini
dan membuka perbendaharaan lama
menghayati warisan pusaka
Bahasa Jiwa Bangsa
menghirup nikmat merdeka
jernihkan jiwa luaskan minda
pemimpin bestari menyatukan rakyat jelata
menghayati erti kemerdekaan
lipatan sejarah mengajar kita
untuk terus membina cita-cita

Kita berhimpun di sini
dan membuka minda
saling ingat mengingat sesama kita
kerana kita sedar kita mudah lupa
apabila harta mengaburi mata
nafsu menguasai jiwa
tanpa cahaya ilmu diri terpenjara
usia berlalu dengan sia-sia
jangan dibiar anak bangsa terus derita
bangkitlah dan lakarkan minda merdeka


Kita berhimpun di sini
dan mematangkan diri
menimba ilmu mencari rezeki kurniaan Ilahi
indahkan diri dengan budi
ingat selalu pesanan bestari
sewaktu di dunia menyemai bakti
semoga di akhirat dapat dituai
mulia dan hina pilihan sendiri
yang tua kita hormati
yang muda kita sayangi
minda merdeka hidup harmoni

Kita berhimpun di sini
dan menghargai Kemerdekaan Negara
janganlah kita sekadar melaungkan kalimah
merdeka !   merdeka !   merdeka !
tanpa menoleh sejenak
sejarah para perjuang Kemerdekaan Negara
……..yang mengorbankan harta dan nyawa
mengisi dada rakyat dengan ilmu
dan keberanian jiwa merdeka

Kita berhimpun di sini
dan mengibarkan Jalur Gemilang
semarak jiwa merdeka
bergema suara kita
bersatu menghayati erti kemerdekaan.

Sallehuddin Haji Ibrahim
2004 -2011
 Kuala Kangsar Bandar Diraja - Kuala Lumpur
 Taiping Bandar Warisan – Pulau Pangkor