Thursday 7 July 2011

MASA DAN PERUBAHAN

Sewaktu menghadiri Seminar Pengkisahan Ngah Ibrahim di Muzium Matang pada 07.07.2011, peluang berbual bersama tiga orang pembentang kertas kerja telah memberikan inspirasi dan motivasi dalam merealisasikan penerbitan edisi kemas kini Jejak Merdeka - 101 Buku Inspirasi.


Terkenang waktu kali pertama bertemu Dr Talib Samat pada majlis pelancaran novel Tengku Menteri Ngah Ibrahim pada 01 Julai 2004 dan setelah 7 tahun masa berlalu dan pertemuan hari ini ternyata banyak perubahan yang berlaku.



Menghayati kertas kerja oleh Dr Talib Samat  memperlihatkan bagaimana sejarah dan bidang persuratan berfungsi sebagai penjana pembangunan modal insan.
Disarankan kepada pihak penganjur untuk menyebarluaskan mesej yang disampaikan oleh para pembentang kertas kerja kepada pelbagai lapisan masyarakat khasnya yang tidak berpeluang menghadiri majlis ilmu yang amat bernilai tetapi malangnya permata ini tidak dinilai sewajarnya oleh sebahagian besar para pemimpin dan rakyat masa kini.
SMS telah dihantar kepada beberapa orang kenalan yang tidak dapat hadir dan maklum balas Sdr Hilal amat memberangsangkan dan diharapkan apa yang sedang beliau usahakan akan dipermudahkan oleh Allah.

Suasana majlis di SMK Dr Burhanuddin agak berbeza dengan apa yang berlangsung di Muzium Matang. Adalah diharapkan para pelajar yang telah menerima komputer Note Book 1 Malaysia dapat memanfaatkan pemberian tersebut dan ibubapa serta para guru memantau penggunaannya.
Dalam menjalani kehidupan hari ini , kita juga perlu menoleh ke belakang memperlajari Sejarah
agar terbina masa depan yang lebih gemilang
Pertemuan dengan kenalan lama sewaktu zaman persekolahan melahirkan perbualan bertemakan dari hal kekeluargan- bilangan anak dan perkembangan mereka.
Semoga apa yang dilalui di sini  dapat dimanfaatkan di sana. 

Monday 4 July 2011

LAKAR SENI BUDAYA MEMBACA

Pengalaman yang ditimba terkadang hanya dapat dihayati apabila digandingkan dengan inspirasi yang muncul di fikiran apabila menangani sesuatu permasalahan atau memanfaatkan peluang yang tiba tanpa diduga.
Walaupun pertemuan yang singkat sewaktu mengisi program Lakar Seni Kuala Sepetang, namum didorongkan oleh minat dan arah perjuangan yang sama telah membantu memesrakan saya dengan peserta yang lain.


Kemesraan terus dipupuk melalui program susulan khasnya bertukar fikiran dan info di laman facebook.
http://www.facebook.com/photo.php?fbid=2229497943055&set=a.1120648302507.2019491.1416055322&type=1#!/profile.php?id=1774527262
Untuk memastikan hubungan ini terus kukuh dan akrab maka perancangan menganjurkan aktiviti yang dapat mencapai matlamat bersama terus diatur dan dilaksanakan melalui kemuafakatan.

Wadah baru yang diberikan nama SAHABAT BUKU dirangka untuk merealisasikan perjuangan yang belum berakhir. Walaupun bermula dengan bilangan yang sedikit tetapi atas semangat yang tinggi , InsyaAllah dapat membantu menjana impak besar kepada industri buku dan Budaya Membaca.

Terima kasih kepada agensi kerajaan khasnya http://www.pnm.my/ , penerbit buku , penulis serta semua yang  memberikan sokongan.

Sunday 3 July 2011

SAHABAT BUKU

Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara di Bandar Perda , Bukit Mertajam menjadi medan pertemuan mesra dan luahan rasa antara pihak pengurusan DBP dan tetamu terdiri daripada pemimpin NGO dan penulis di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak


Majlis dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang menganggap pertemuan yang dianjurkan merupakan pertemuan kekeluargaan. Peluang mendengar secara terus penjelasan mengenai bebarapa isu hangat berkaitan DBP oleh Ketua Pengarah ,Dato' Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz telah dapat membantu  menjawab persoalan serta masalah yang dialami oleh DBP dan kesannya kepada pihak luar khasnya golongan penulis
Banyak soalan dan pandangan telah dilontarkan dan dijanjikan akan diambil tindakan sewajarnya.
Perkara yang paling menarik ialah pembentangan plan proaktif yang telah diambil oleh Ketua Pengarah dalam mengembalikan kewibawaan DBP dan promosi mengenai Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ ://prpm.dbp.gov.my/
Walaupun terlepas peluang mengemukakan soalan kerana keterbatasan masa tetapi usaha telah diambil untuk memaklumkan dari hal Plan Perkongsian Pintar aktiviti Sahabat Buku kepada pegawai yang hadir bersama.