Thursday 19 July 2012

PENULISAN SEMULA

PELUANG menghadiri Bengkel Penulisan dan Penerbitan anjuran ITBM - PENA - DBP pada 13 - 15 Julai 2012 di Batu Feringgi, Pulau Pinang telah memberikan nilai tambah kepada usaha merealisasikan penerbitan Jelajah Buku 101 Inspirasi Pembaca / Adaptasi Jelajah Merdeka.

Kamar 329 Hydro Hotel telah menyaksikan usaha memperkasakan manuskrip Sebalik Tembok 1879 dan hadirnya ilham untuk meneruskan perjuangan di bidang persuratan yang terkadang terpaksa melalui liku-liku yang memedihkan di samping menikmati kedamaian kalbu dan ransangan minda apabila membaca buku yang memberikan semangat untuk memulakan penulisan semula.



Pertemuan semula dengan sahabat lama, Abd Malek Selamat yang kini bertugas sebagai guru di Tanjung Malim adalah antara manfaat yang diperolehi sempena menghadiri bengkel dan memberikan inspirasi serta kepuasan rohani yang memantapkan keyakinan tentang kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa menghadiahkan erti persahabatan kepada hamba yang dikehendakiNYA.

Semoga dengan keberkatan Ramadan 1433H, aku berpeluang menyempurnakan penulisan semula dan Jelajah Buku akan direalisasikan khasnya sempena ulang tahun ke 55 kemerdekaan negara dan setelah tujuh tahun lahirnya puisi Jejak Merdeka ( 15 Ogos 2004 ). InsyaAllah dengan berpandukan ilmu yang dikongsikan oleh pembentang kertas kerja dan pengalaman para peserta bengkel dapat memudahkan usaha tersebut.

"Kitab suci Al-Quran paling tinggi mutupenulisannya sebagaimana yang kita akui. Dan tidak kurang daripada 13 cerita nabi-nabi yang diwahyukan melalui monolog. dialog, padu suara atau korus dengan penceritaannya: ada plot, ada subplot, ada motivasi dan ada psikologi tentang manusia; ada simbol-simbol, ada imej-imej dan ada metafora."


Sasterawan Negara ke 7 - Sastera dan Kemanusiaan (DBP-2005) 



Koleksi buku , majalah dan kertas kerja yang menjadi sumber rujukan penulisan semula
Jelajah Buku / Adaptasi Jejak Merdeka